Thursday, May 17, 2012

INGIN MERASA


Alhamdulillah.. Tiada ucapan lain selain mengucap kalimah  penuh syukur pada yang Maha Pencipta. Atas anugerah segala nikmat dari-Nya, jari jemari ini dapat menukil  di medium blog ini. Memang terlambat saya memulakan langkah di arena penulisan blog ini.  Saat ‘ingin merasa’ menerpa ke minda. Saya mulakan langkah. Berbekal kan  kata-kata ini, “Di mana pun kita bermula, Allah melihat bagaimana pengakhiran 
kita  ”.  Kepada yang sudi membaca penulisan saya kelak, saya berharap kalian dapat membantu saya menghasilkan penulisan yang bermanfaat.  Rasa ingin mencuba. Cuba menghasilkan karya walaupun anda tidak berbakat.

Ibn Taimiyah mengarang 30 jilid kitab Majmu’ Fatawa di dalam penjara.  Meskipun di dalam penjara boleh menghasilkan sebuah kitab. Jika dibandingkan dengan kita hari ini, mampukah menjadi seperti itu? Saya ketika ini sedang  diberi rehat seketika menuggu kaki saya sembuh selepas terlibat dalam kemalangan. 

Kata seorang sahabat kampus,  “ dalam duduk tunggu sembuh, silap-silap 30 juzuk Al-Quran boleh hafal” .

Kata kakak saya, “ Ibn Taimiyah boleh menulis di dalam penjara, ini duduk di atas katil lagi la boleh”

Kata adik saya, “kalau melalui ujian macam ni,kalau boleh tulis satu buku bagus ni ”

Kata-kata ini menjadi inspirasi buat saya. Ya, saya ingin berkongsi  apa yang saya rasa dan saya ingin merasa apa yang anda rasa. Berkongsi  melalui penulisan di blog  yang saya pilih ketika ini. Dengan harapan ada ilmu yang  dapat dimanfaatkan bersama.



Generasi  X,Y,Z.
Anda generasi yang mana?   Generasi sekarang punya cabaran generasi terkini. Pernah terlintas di minda saya,  saya perlu lakukan sesuatu untuk generasi akan datang. Pernah kawan sekolah saya, menyatakan dia tak pernah tengok macam mana asal sebenar asam jawa. Tertawa saya, pokok asam itu pernah jadi medan permainan saya.  Panjat memanjat bersama teman sepermainan.  Tidak pelik bagi yang membesar di bandar, kelilingnya bagunan-bagunan. Tiada ruang si pokok asam menumpang duduk. Justeru, saya cuba menulis apa yang pernah saya lalui. Memetik kata-kata ini,

Menulis untuk difahami,
Bercakap untuk didengari,
Membaca untuk memahami.


Saya tidak tahu samada apa yang saya tulis dan akan tulis nanti akan difahami atau tidak. Namun, tidak salah mencuba.

“Sampaikan daripadaku walau hanya sepotong ayat”(Hadis Riwayat Al-Bukhari )

Semoga apa yang akan diisi pada blog ini dapat dimanfaatkan dan disampai-sampaikan. InsyAllah.

   ~~Hijau itu menyejukkan mata memandang~~