Tuesday, October 9, 2012

CUKUP - CUKUP SUDAH...


“Apakah perkara yang paling jauh?”

Perkara yang paling jauh adalah perkara yang tidak mampu dicapai. Jauh dan tidak mampu untuk dapatkan. Ianya adalah masa yang telah berlalu. Tidak tercapai untuk di undur kembali setiap detik yang berlalu. Hatta menggunakan kecanggihan teknologi terpantas, masa yang sudah berlalu tidak terdaya untuk diputar kembali.

Kalau kartun “Doraemon” mungkin boleh. Doraemon ada mesin masa lalu. Boleh kembali ke masa yang sudah lepas. Tapi, itu hanya ilusi kartun. Realitinya tidak. Jauh dan tidak boleh dicapai kembali.



Setiap dari kita diberi masa 24 jam. Tiada yang terlebih. Tiada yang terkurang.  Perdana Menteri, rakyat jelata, lelaki, perempuan, semua dapat sama 24 jam.  Secara teorinya begitu. Bezanya pada penggunaanya. Ada yang rasa cukup masa, ada yang rasa tidak sempat.

Pernah saya mengikuti modul bertajuk “5 minutes to late” ketika berprogram. Di mana para peserta diminta memejamkan mata dan mengira sendiri lima minit tanpa melihat jam. Setelah cukup 5 minit mengikut kiraan peserta, peserta dikehendaki membuka mata. Dalam ramai-ramai peserta, tiada yang membuka mata tepat pada masa 5 minit. Ada yang membuka mata sebelum atau lebih daripada 5 minit. Ketika itu, terjentik kesedaran menghargai 5 minit itu. Dengan 5 minit apa yang boleh dibuat? Fikirkan dan bertindaklah.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

“Hidup di dunia ini hanya pinjaman, cukup-cukuplah rehat sekadarnya”

Ya, hidup di dunia ini fana. Sementara sahaja. Namun, banyak perkara perlu dibuat. Semakin hari, semakin hampir kepada kematian. Dalam menempuh hari-hari mendatang, hidup yang sementara ini perlu kepada melunaskan tanggugjawab. Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna;

"Tanggungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada"

Tanggugjawab kita sebagai hamba Allah, sebagai khalifah di muka bumi Allah. Tambah lagi,  tanggugjawab sebagai seorang anak, pelajar, pekerja, majikan, ibu bapa dan banyak lagi. Mahu ditulis semuanya pun sudah banyak. Inikan pula hendak melaksanakan setiap sisi tanggugjawab itu. Justeru, peri pentingnya menghargai tiap detik waktu yang ada sekarang amatlah perlu.

Masa yang ada 24 jam itu perlu ditepukan dengan sewajarnya. Untuk itu, cukup-cukuplah mengabaikan masa dengan perkara yang tidak memberi pulangan keuntungan  di akhirat kelak.

Cukup-cukup sudah bersedih hati dengan kegagalan semalam. Kesedihan akan berlalu, namun masa merenung kesedihan itu takkan kembali semula. Masa itu terbazir tanpa faedah.

Cukup-cukup sudah rebah ditimpa ujian kehidupan. Bangkitlah melihat keluasan Rahmat Allah. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya.

Cukup-cukup sudah mengejar nama, harta, dan kemewahan melebihi keperluan. Apa yang kita nikmati ini hak Allah. Tiada caj penggunaan nikmat-Nya. Tapi, jangan dilupa pada yang memerlukan bantuan.

Cuku-cukup sudah berangan-angan Mat Jenin. Ibarat mahu jadi pemain bola tapi malas berlari. Rezeki Allah luas. Usahalah tanpa henti. Azam dan bertekad untuk menjadi profesional muslim.

Cuku-cukup sudah ber ’alasan’, ber ‘tak pe’ dalam urusan kebaikan. Saidina Ali berkata, “Masa itu umpama pedang. jika kamu tidak ‘memenggalnya’, nescaya ia akan ‘memenggal’ lehermu.

Cukup-cukup sudah berkira-kira dengan Allah. Jadilah seorang yang kedekut waktu, sibuk dengan perkara yang bermanfaat.
“ Walau 5 minit jangan buang masa. Orang berjaya sentiasa memanfaatkan waktu. Sesiapa yang membunuh masa, membunuh peluang” ( Prof Dr Muhaya)

Cukup –cukup sudah  menuangkan masa ke dalam lumpur kesia-siaan. Tuangkan waktu yang ada ke dalam tadahan bermanfaat. Biar umur yang belasan, 20-an, 30-an, 40-an ini cukup untuk kita penuhkan bekal. Abu Ubaidah pernah berkata;

“ Orang yang menyibukkan dirinya dengan urusan yang tidak penting, sesungguhnya dia akan kehilangan urusan yang penting”

.

Cukup sampai di sini sahaja coretan pena buat kali ini. Cukup- cukup sudah hidup tanpa matlamat menuju Redha Allah. Cukup- cukup sudah membahagikan waktu untuk perkara yang melemahkan jiwa. Gantikan menjadi gandaan  waktu untuk perkara yang merangsang kekuatan Iman. Moga-moga lahirnya kita sebagai hamba biasa ini, apabila pulang bertemu Ilahi kelak sebagai hamba yang soleh, bukan yang dimurkai Allah. Allahuma amin.  



6 Oct 2012. Teratak MakAbah.

No comments:

Post a Comment