Wednesday, November 7, 2012

Memandang Ujian Kehidupan



Tinta pena labu hijau kali ini pada bait-bait motivasi di atas.
Moga sentiasa positif memandang ujian kehidupan.
Bersangka baik dengan segala ketentuan Allah.
Allah Mengetahui segalanya.

“Aku tergantung prasangka hamba-Ku kepada-Ku.
 Apabila ia berprasangka baik kepada-Ku, maka kebaikan
baginya, dan bila berprasangka buruk maka keburukan
baginya.” (HR. Ahmad dengan sanad hasan dan Ibnu
Hibban dalam kitab Shahih-nya).


'La haula walaa quwwata illaa billah.
( tidak ada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan pertolongan Allah swt.


Teratak MakAbah 8 Nov12.





Sunday, October 14, 2012

BAGAI BARU SEMALAM…



Mentari pagi Selasa itu bagaikan malu-malu menerbitkan sinarnya. Redup pagi di teratak usang diselimuti kabus nyaman udara bendang. Musim membajak dan menabur benih pokok beras ketika itu. Riuh kicau jentera membajak. Juga bicara bual petani mengatur jadual penjagaan tanaman.

Selepas tamat kontrak kerja sementara, ku kembali ke kampung halaman. Persediaan jaulah keluarga ke majlis konvokesyen di selatan tanah air menanti. Kenderaan, tempat menginap, tempat lawatan, tentatif  jaulah siap disusun. Selasa terakhir sebelum jaulah, ku berbelanja dapur dan barangan untuk dibawa di ‘nat’ (pasar pagi). Ketua keluarga kami awal-awal lagi sudah bertemankan embun pagi di sawah. 

 Selasa itu tenang. Insan yang paling ku sayang sepenuh hati siap menunggu di bangku. Laju ku menyarung sarung lengan, stoking, lantas  menggapai sweater yang sedia tersangkut. Sedikit kelainan daripada  biasa, aku ditunggu. Anak buah ku merengek mahu bersama. Insan kesayangan ku yang menjaganya rasa bersalah jika tidak  di bawa. Tika mentari  pagi menginjak naik, motosikal biru ku meluncur di jalan.

Usai membeli keperluan, ditambah anak buah ku yang sudah bersuara untuk cepat pulang, kami bergegas pulang. Tika motorku sampai di simpang itu, kelibat motokar putih itu muncul.
Tanpa sempat keluar sebutir bicara. 
Gelap. Kelam. Sepi.

*************************


“Kamu di mana ni? Tahu tak kenapa ada di sini?”
Sedar di sambut persoalan itu. Di kelilingi sekumpulan berbaju putih.

“Mak saya mana? Anak menakan saya mana?”
Diam. Sunyi.

“Mak saya mana?”
“Mana mak?”
Soalan tiada jawapan. Diriku lemah, separa sedar. Terasa berat. Tak mampu bergerak bangun mencari mereka.

“Abah, mana mak?”
“Mak..”
“Mak..”
“Mana mak?”
Tidak mengertikah kalian. Di mana insan kesayangan ku berada. Diriku yang lemah menahan kesakitan tika itu bagai mahu menempik mahu pertanyaan ku berjawab.
Beberapa ketika sepi.

Tangan yang lembut membelai. Tangan yang hangat dengan kasih sayang. Tangan yang kupimpin ketika berjalan di nat tadi. Tangan itu abah hulur pada ku.
Sejuk. Tiada kata. Tiada reaksi.

Baru tadi aku berbicara membeli belah bersamanya. 
Kenapa? Kenapa?
Tidak! Tidak! Bukan! Bukan!
Tangisan hujan perit tanpa noktah.

“Mak, maafkan anak mak, tak bawa mak elok-elok”
“Mak, jangan tinggalkan kami”

Kembali tidak sedar dalam raungan kesedihan itu.

*************************

Bagaikan kilat yang memanah. Sekejap namun kesan yang memeritkan.
Siapa tidak sedih.
Siapa tidak hiba.
Siapa tidak rebah.
Siapa tidak lemah tak berdaya.

Perginya tanpa sempat ku balas pengorbanannya padaku. Perginya ketika sedang bersamaku.
Rasa bersalah. Rasa tidak menjadi anak yang mampu menjaga ibunya sendiri.
Teruk ! tak berguna!

Kaki yang patah terasa tiada makna lagi untuk berusaha melangkah. Kekuatan terasa di ambil tanpa pesan. Sukar diterima kenyataan ini.

Bagai baru semalam wajah tenagnya ku cium, ku peluk erat.

Bagai baru semalam mendengar alunan  merdu  kalam wahyu-Nya dialun menjamu sarapan rohani dan muhasabah malam di teratak kami.

Bagai baru semalam kesugguhannya menuntut ilmu menyuntik semangatku. Kelas mengaji yang tak henti dihadiri.

Bagai baru semalam menjamah suapan hidangan lazat penuh rasa kasih sayang air tangannya.

Bagai baru semalam bicara positifnya sampai ke telinga.
“Kalau sakit, jangan duk kata ‘sakit..sakit’, Kalau panas jangan duk kata ‘panas..panas’. Apa kita kata tu doa. Katalah  ‘nak lega’, katalah ‘sejuk..sejuk’”

Bagai baru semalam motivasi tika terasa lemah dalam perjuangan menimba ilmu menusuk ke hati.
“Kita buat dia, bukan dia buat kita”

Bagai baru semalan sakitku, susahku berusaha di ubatinya. Walau ketika jauh, mendengar butir bicaranya meringankan kesakitan.

Bagai baru semalam kata – kata menyenagkan hatiku tika tidak selalu dapat  pulang ke rumah semasa tinggal jauh menuntut ilmu.
“Takpa, tak selalu jumpa di dunia, jumpa di akhirat”

Ku tahu, doanya buat anak- anak tak pernah putus. Jauh ketika belajar, tapi dekat dalam doanya.
Kini, kata – kata itu membekas dan tertanam tekad di hati. Ku mahu kembali bertemunya di sana. Perpisahan di dunia itu sudah pasti. Allah telah tetapkan.

Siapa aku untuk mempertikaikan?
Siapa aku untuk menolak takdir ketentuan-Nya?
Siapa aku untuk  memutar kembali masa, untuk tidak  melintasi simpang itu lalu dilanggar mereka yang tidak memerhati tanda ‘Berhenti’?

“Innalillah wa inna ilahihi rajiun” 
(kami ini milik Allah, kepadaNya kami akan dikembalikan)

Diriku, diri kalian adalah milik Allah. Pemilik Mutlak. Penguasa seluruh alam.  Perginya dijemput kembali bertemu Ilahi. Meskipun pahit untuk ku hadapi. Ku hilang kasihnya. Ku perit cedera dilanggar. Aku tidak boleh menyalahkan musibah itu. Aku salah jika begitu!

Aku ini hamba. Sewajarnya diuji. Mati itu pasti menjemput. Mati itu dekat. Ke mana sahaja berlari, tinggi mana tembok dibina, hari kematian  itu sudah tertulis.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati..........” ( Ali ‘Imran:185)

Andai hari ini orang yang paling disayangi pergi kembali bertemu Ilahi, bersedialah dengan pemergian. Ku juga akan tiba harinya. Kalian juga akan tiba harinya. Hadapi  pemergiannya hari ini sebagai peringatan buat diri. Cukupkan bekal sebelum kematian menjemput.

Sayang padanya. Kasih padanya. Didikan dunia akhiratnya buatku. Kekal dalam sanubari. Utuh berpaut dalam hati. Tak pernah luntur. Takkan hilang.

Mendidikku dengan rasa Cinta pada Allah. Pelukannya dengan pelukan cinta Allah. Memandikan ku dengan curahan cinta Allah. Bedaki ku dengan haruman cinta Allah. Belaiannya dengan kelembutan kasih Allah. Ibuku terbaik buatku dunia akhirat.

Pesan buat diriku. Buat kalian yang juga pernah merasa. Juga buat kalian yang belum merasai. Jangan bersedih lama. Jangan lemah setelah tiada kekuatan doa darinya lagi. Jangan rebah sebelum ajal. Allah cintakan hambanya yang sabar. Allah suka hambanya yang kuat. Bangkitlah melihat keluasan Rahmat-Nya. Kekuatan hakiki  daripada-Nya. Doa menjadi penghubung. Kerna doa dari seorang anak takkan putus hatta setelah ibubapanya tiada lagi di dunia.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda :

"Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah
amalnya melainkan tiga macam :
1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)
2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.
3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.

Ku mahu kembali bersamanya di sana. Allah pasti menemukan jika bekalku setanding untuk menempah tiket bersamanya. Aku harus kuat. Aku harus tabah. Aku harus menjadi hamba Allah yang beriman.

Maka adapun orang yang catatannya yang diberikan dari sebelah kanannya, maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah, dan dia akan kembali kepada keluarganya (yang sama-sama beriman) dengan gembira. ( Al-Insyiqaq:7-9)

Moga tangan ku teguh menadah doa. Moga bibirku basah mengalun zikir mengagungkan-Nya.
Moga hatiku kuat melaksanakan perintah-Nya.

Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku.
Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku terhadap kedua ibu bapaku.
Ya Allah, tempatkan ibuku di kalangan hamba-hambamu yang beriman.
“Allahummaghfirlii waliwaa lidayya warhamhumaa kamaa rabbayaanii shaghiiraa”
Al-Fatihah.

18 Oktober. Setahun yang pergi. Namun terasa bagai baru semalam. Ya Allah, kuatkan hatiku. Moga usia yang masih ada ini dapatku manfaatkan sebaiknya.

Sabda Rasulullah SAW: “ Sebaik-baik manusia adalah yang berumur panjang dan paling bermanfaat untuk orang lain”


Ku menulis bukan kerna meratapi kesedihan. Ku menulis sebagai perkongsian. Sebagai peringatan ketika ku lemah. Terima kasih kepada semua yang sedia memberi dorongan. Moga Allah merahmati kalian.

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah At Taghabun:Ayat 11)


18 Okt 2012. Teratak MakAbah.









Tuesday, October 9, 2012

CUKUP - CUKUP SUDAH...


“Apakah perkara yang paling jauh?”

Perkara yang paling jauh adalah perkara yang tidak mampu dicapai. Jauh dan tidak mampu untuk dapatkan. Ianya adalah masa yang telah berlalu. Tidak tercapai untuk di undur kembali setiap detik yang berlalu. Hatta menggunakan kecanggihan teknologi terpantas, masa yang sudah berlalu tidak terdaya untuk diputar kembali.

Kalau kartun “Doraemon” mungkin boleh. Doraemon ada mesin masa lalu. Boleh kembali ke masa yang sudah lepas. Tapi, itu hanya ilusi kartun. Realitinya tidak. Jauh dan tidak boleh dicapai kembali.



Setiap dari kita diberi masa 24 jam. Tiada yang terlebih. Tiada yang terkurang.  Perdana Menteri, rakyat jelata, lelaki, perempuan, semua dapat sama 24 jam.  Secara teorinya begitu. Bezanya pada penggunaanya. Ada yang rasa cukup masa, ada yang rasa tidak sempat.

Pernah saya mengikuti modul bertajuk “5 minutes to late” ketika berprogram. Di mana para peserta diminta memejamkan mata dan mengira sendiri lima minit tanpa melihat jam. Setelah cukup 5 minit mengikut kiraan peserta, peserta dikehendaki membuka mata. Dalam ramai-ramai peserta, tiada yang membuka mata tepat pada masa 5 minit. Ada yang membuka mata sebelum atau lebih daripada 5 minit. Ketika itu, terjentik kesedaran menghargai 5 minit itu. Dengan 5 minit apa yang boleh dibuat? Fikirkan dan bertindaklah.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

“Hidup di dunia ini hanya pinjaman, cukup-cukuplah rehat sekadarnya”

Ya, hidup di dunia ini fana. Sementara sahaja. Namun, banyak perkara perlu dibuat. Semakin hari, semakin hampir kepada kematian. Dalam menempuh hari-hari mendatang, hidup yang sementara ini perlu kepada melunaskan tanggugjawab. Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna;

"Tanggungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada"

Tanggugjawab kita sebagai hamba Allah, sebagai khalifah di muka bumi Allah. Tambah lagi,  tanggugjawab sebagai seorang anak, pelajar, pekerja, majikan, ibu bapa dan banyak lagi. Mahu ditulis semuanya pun sudah banyak. Inikan pula hendak melaksanakan setiap sisi tanggugjawab itu. Justeru, peri pentingnya menghargai tiap detik waktu yang ada sekarang amatlah perlu.

Masa yang ada 24 jam itu perlu ditepukan dengan sewajarnya. Untuk itu, cukup-cukuplah mengabaikan masa dengan perkara yang tidak memberi pulangan keuntungan  di akhirat kelak.

Cukup-cukup sudah bersedih hati dengan kegagalan semalam. Kesedihan akan berlalu, namun masa merenung kesedihan itu takkan kembali semula. Masa itu terbazir tanpa faedah.

Cukup-cukup sudah rebah ditimpa ujian kehidupan. Bangkitlah melihat keluasan Rahmat Allah. Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya.

Cukup-cukup sudah mengejar nama, harta, dan kemewahan melebihi keperluan. Apa yang kita nikmati ini hak Allah. Tiada caj penggunaan nikmat-Nya. Tapi, jangan dilupa pada yang memerlukan bantuan.

Cuku-cukup sudah berangan-angan Mat Jenin. Ibarat mahu jadi pemain bola tapi malas berlari. Rezeki Allah luas. Usahalah tanpa henti. Azam dan bertekad untuk menjadi profesional muslim.

Cuku-cukup sudah ber ’alasan’, ber ‘tak pe’ dalam urusan kebaikan. Saidina Ali berkata, “Masa itu umpama pedang. jika kamu tidak ‘memenggalnya’, nescaya ia akan ‘memenggal’ lehermu.

Cukup-cukup sudah berkira-kira dengan Allah. Jadilah seorang yang kedekut waktu, sibuk dengan perkara yang bermanfaat.
“ Walau 5 minit jangan buang masa. Orang berjaya sentiasa memanfaatkan waktu. Sesiapa yang membunuh masa, membunuh peluang” ( Prof Dr Muhaya)

Cukup –cukup sudah  menuangkan masa ke dalam lumpur kesia-siaan. Tuangkan waktu yang ada ke dalam tadahan bermanfaat. Biar umur yang belasan, 20-an, 30-an, 40-an ini cukup untuk kita penuhkan bekal. Abu Ubaidah pernah berkata;

“ Orang yang menyibukkan dirinya dengan urusan yang tidak penting, sesungguhnya dia akan kehilangan urusan yang penting”

.

Cukup sampai di sini sahaja coretan pena buat kali ini. Cukup- cukup sudah hidup tanpa matlamat menuju Redha Allah. Cukup- cukup sudah membahagikan waktu untuk perkara yang melemahkan jiwa. Gantikan menjadi gandaan  waktu untuk perkara yang merangsang kekuatan Iman. Moga-moga lahirnya kita sebagai hamba biasa ini, apabila pulang bertemu Ilahi kelak sebagai hamba yang soleh, bukan yang dimurkai Allah. Allahuma amin.  



6 Oct 2012. Teratak MakAbah.

Tuesday, September 25, 2012

MATA AYAH by USMAN AWANG


MATA AYAH.

Kujabat mesra tangan ayah
Urat-urat daging-daging tua keras terasa
Mataku tersenyum, matanya menyapa
Anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, mata yang menatapku
Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesauan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang
Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

(Usman Awang)



~sajak ini pernah ku deklamasikan dlm pertandingan sempena bulan Bahasa sekolah. Mendapat Johan ketika itu. Kini,membaca kembali terasa peghayatannya. Kubangga dgn mak abahku. Mak Abah terbaik buatku.~





##Aku anak bendang....

##Aku anak pesisir.....

Friday, September 21, 2012

Bedah BUku : MATAHARI


“Tidakkah kau melihat matahari,
Sinarnya tiada henti,
Hatta di kala malam,bulan mewakili,
Begitulah sahabat yang baik,
Sentiasa menyuluh cahaya kesedaran,
Walau berjauhan,
Tetap berusaha untuk dicapainya”



Cerpen  bertajuk : A.I.A:Ana Ithar Anta tulisan Hilal Asyraf dlm bukunya, MATAHARI,  mengisahkan 2 shbt. Salim & Faiq Zaini. Salim sdg ikuti kursus b.Arab di Jordan. Faiq sdg belajar di Mesir. Ketika cuti musim sejuk,Faiq menziarahi Salim.Mereka lama terpisah sejak sekolah. Masa sekolah pun mereka sebenarnya tak rapat sangat. Tapi Faiq rajin tnya kabar salim,wish besday,email,fb. Namun 98% tak dilayan oleh Salim.Salim siap invisible klu nampak Faiq on9.

Kehadiran Faiq menziarahi Salim pun tak disenangi salim. Tp faiq tetap tak berputus asa . sanggup korbankan wang,masa. Semata-mata nak jumpa Salim.Walaupun taraf hidup di Jordan jauh lbh mahal drpd Mesir, Faiq tetap pergi ziarah Salim.
Satu hari, Salim bawa Faiq jalan-jaran di Irbid. Perbualan mereka masa jalan-jalan:

“bagaimana kehidupan di Jordan?”Tanya Faiq
“baik-baik sahaja. Macam anta lihat”jawab Salim.
Tanya Faiq lagi “Kondisi jiwa anta bagaimana?”
“Helo,sini bukan hospital sakit jiwa, ya”
Faiq ketawa. “kalau ada masalah, blh kongsi”
“muka ana ada tunjuk masalahkah?”
Faiq menggeleng. “ana kata,kalau ada. Ana bukan org lain. Ana sahabat anta.Ana bukan sibuk. Ana ambik berat”

Sebenarnya Faiq tahu Salim ada masalah.Salim dulu ketua pelajar masa sekolah. Tapi dia tersungkur di hadapan pintu yg bernama cinta. Jadi, sahabat2 sisihkan dia,dipulaukan. Dia duk Jordan pun duduk sorang,xda yang mahu tinggal serumah dengan dia.

Pada hari Faiq nak balik, dia hadiahkan buku “La Tahzan”. Karangan Dr A’aid Qarni kpd Salim. Salim Tanya,”Ana nampak macam bersedihkah?”
Faiq tersengih dan jawab,

“Buku ni bagus untuk orang yang tertekan,yang terjatuh dalam kesedihan, tapi untuk yang tak sedih macam anta ni boleh untuk ingat-ingatkan diri, Sesungguhnya peringatan itu baik untuk orang yang beriman ”
Tanya faiq lagi, “änta ada simpan sesuatu drpd ana bukan?”
Tapi Salim tetap tak nak cerita.
Faiq “ana tak kisah anta tak sayang ana,Cuma ana nak anta sayang diri anta sendiri ”
Salim “enta tak rasa rugi datang duduk saja-saja ja dgn ana?layanan ana pun tak baik”
Faiq “sebab anta sahabat ana,anta tanggungjawab ana kpd Allah. Bila ana bersahabat dengan seseorang,ana bina hubungan dengan dia berdasarkan mencari redha Allah SWT. Justeru, menjaga sahabat ana,adalah tanggungjawab ana kepada Allah SWT  ”

Faiq mangaku pada salim yang dia tahu masalah Salim di Malaysia melalui sahabat2 lain. Tanya Salim, “Jadi, kenapa tak pulaukan ana macam yang lain?”
Faiq “Sebab ana sahabat anta. Kalau namanya sahabat, apakah akan membiarkan sahabatnya terbakar di dalam api?kalau namanya sahabat, mesti hendak sama-sama bahagia. Jadi ana hendak anta masuk syurga dengan ana. Sebab itu ana ada di sini. Bersama dengan anta. Tunjukkan pada anta bahawa masih ada manusia yang sayangkan anta. Pimpin anta. Ana nak tunjuk pada anta,Allah masih sayangkan anta.
Salim “Buktinya?”
Faiq “ Allah benarkan ana bersama anta sekarang”
Salim “ Anta keluarkan duit,luangkan masa,hanya untuk itu?kenapalah anta sanggup berkorban macam ni? ”
Faiq “sebab ana “ ithar” anta. ”
“Ithar” bermaksur mencintai sahabat melebihi diri sendiri.Air mata Salim mengalir. Egonya runtuh. Terpukul dan terkesan.
Akhir pertemuan mereka, “Uhibbukafillah Salim. Jaga diri baik-baik. Ana akan selalu hubungi anta”Faiq.
Baru Salim sedar, dia perlu bersyukur kpd Allah kerana mengurniakan sahabat seperti Faiq. Sahabat yang sebenar. Menterjemah definisa sahabat dalam kehidupan.

Coretan penulis: cerpen ini saya tulis untuk menterjemahkan prinsip saya dalam persahabatan. Jika benar persahabtan kita kerana Allah,maka kita akan bersungguh untuk mencapai matlamat yang lebih besar,yakni untuk sama-sama masuk syurga.

Coretan ana: syukur pada Allah hadirkan sahabat-sahabat yang baik dalam hidup saya.. Tika rasa lemah,rasa kehilangan mak tersayang,tika perit menahan kesakitan,sahabat-sahabat saya  tak pernah jemu membantu,memberi sumbangan,memberi sokongan. Terima kasih pada kalian. Moga Allah merahmati kalian.            


       

Friday, August 10, 2012

Sedikit Sekali.....


“ummi…lagi berapa minit?”
“7 minit lagi….”
“lambat lagi la ummi… ”

Dialog harian ketika berpuasa bagi kanak-kanak. Lagi-lagi  bila hidangan berbuka sudah sedia terhidang.  Orang dewasa pun ada dialog. Dialog mata. Kekerapan Mata mengintai  jam yang sedang berdetik. Tepat sahaja jarum minit berlabuh ke waktu berbuka,tangan pun dah siap nak sampai ke mulut.  Nikmatnya tangan yang boleh dihayun untuk menyuap. Nikmatnya tekak merasa curahan air batu. Nikmatnya rezeki berbuka yang terhidang.

“Tangan bergerak,mulut terbuka”

 Perasan tak?
Ketika tangan nak menyuap makanan,mulut secara automatik akan terbuka. Tangan tak perlu tunggu dulu, baru mulut terbuka. Kalau tak perasan,masa berbuka nanti cuba perhatikan. Sistem yang sangat sempurna diciptakan Allah yang Maha Bijaksana. Cuba tengok robot, lepas ‘button’ arahan angkat tangan ditekan baru robot angkat tangan. Kemudian, ‘button’ arahan  buka mulut ditekan baru mulut akan dibuka. Beberapa langkah baru dapat robot masukkan sesuatu ke dalam mulut. Lihatlah, kita diciptakan oleh Allah yang Maha Hebat.Alhamdulillah. Ini baru satu contoh. Banyak lagi nikmat yang Allah bagi pada kita.

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”(Al-Nahl 16:18)

Jelas sekali, nikmat Allah tak mampu dihitung. Tadi tangan, mari kita tengok kaki pula. Tengok pada pergelangan kaki kita. Ada buku lali juga di situ. Ketika nak pakai kasut, senag sahaja kaki dihulur masuk dalam kasut. Tapi kalau pergelangan  kaki tu keras, macam mana nak pakai kasut? Jadi big boss la..orang pakaikan kasut.Cuba bayangkan lutut tidak dapat dibengkok. Apa akan jadi dengan pergerakan kita. Nak duduk bersila tak boleh,nak berjalan tak stabil,nak sujud tak boleh. Kaki terlunjur sahaja. Andai anda pernah alami situasi ini, anda akan rasa kaki tu sangat mahal. Kalau ada jual di kedai, mahal mana pun mesti akan usaha untuk beli. Bersyukurlah dengan anggota yang sempurna yang Allah beri percuma pada kita.
Saya kongsi dua anggota ini sahaja. Selebihnya anda semua sendiri boleh lihat. 

Pesanan buat diri dan pembaca. Bersyukurlah dengan segala nikmat yang Allah beri. Waktu kita senang,sihat,lapang,hidup jangan lupa untuk bersyukur. Jangan tunggu Allah tarik balik pinjaman percuma ini baru kita nak bersyukur.  Moga –moga  kita termasuk dalam  golongan hamba-Nya yang bersyukur. Ayat yang cukup indah untuk kita muhasabah diri selalu, petikan dari ayat 13 surah Saba’ ini.

………..Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur. (Saba' 34:13)

Beringatlah wahai diri, jadilah yang sedikit sekali ini. Syukurlah sentiasa... Alhamdulillah.... Terima Kasih Ya Allah....
Thank you Allah...



~Madrasah Ramadhan~