Wednesday, August 1, 2012

PILIHLAH DAKU………..



Peserta pertama,“nama saya farkhan, pelajar jurusan kejuruteraan kimia. Saya berasal dari Pahang, sudah berada di tahun kedua pengajian. Saya bercita-cita menjadi jurutera kimia. Prinsip hidup saya, “berani kerana benar!”.

Peserta kedua, “Jauh berjalan, luas pengalaman”, dari Perlis saya merantau. Menadah ilmu dalam jurusan kejuruteraan Elektrik. Kini saya di tahun kedua pengajian. Sayalah Ahmad Adam Akram.”

Biasanya dalam sesuatu program, fasilitator akan meminta peserta-peserta memperkenalkan diri. Ada slot taa’ruf dulu.Selepas perkenalkan diri, akan memilih penghulu mengepalai peserta program. Berdasarkan gaya memperkenalkan diri lah peserta-peserta akan lihat.  Yang berkenan di hati akan diundi. Antara peserta pertama dengan peserta kedua, anda pilih yang mana?

Kalau saya, saya pilih yang kedua. Sebab dia perkenalkan diri dengan susunan ayat  tersendiri. Menyebut prinsip hidup terlebih dahulu. Saya pasti orang akan mudah ingat namanya kerana cara dia perkenalkan diri lain dari yang lain.

Kewujudan dirasai.

Peserta kedua tadi punyai teknik tersendiri untuk dirinya dikenali. Dalam puluhan peserta mana mungkin semua dapat diingat nama dengan cepat dalam tempoh terhad. Bagaimanan menjadikan kewujudan anda dirasai? Kalau artis mengejar populariti di kalangan peminat. Kalau pemain bola beraksi hebat di padang untuk dinobat pemain terbaik. Anda bagaimana?

Manusia antara makhluk  terpilih untuk wujud di muka bumi ini. Kewujudan dengan diberi taklifan sebagai hamba dan khalifah. Kewujudan seorang manusia yang  boleh dirasai oleh manusia lain senang untuk kita lihat. Namun, kewujudan manusia yang dirasai oleh Penciptanya bagaimana pula? Ya, yang menciptakan mestilah tahu kewujudan apa yang diciptakannya. Tapi sejuah mana yang diciptakan itu menjadikan dirinya sentiasa dirasai kewujudan di mata penciptanya yang ingin saya perkatakan. Bagaimana kita sebagai manusia berlumba-lumba untuk Allah selalu nampak kita, selalu beri perhatian pada kita, selalu dekat dengan kita?

Tertarik...menarik...

Magnet yang  sama kutub akan saling menolak. Yang berlainan kutub akan menarik. Itu sifatnya magnet. Sifat manusia ni ada berbagai. Bukan setakat tertarik, menarik. Macam- macam ada, terpegun, terkesima. Macam-macam gaya manusia untuk menjadikan diri dilihat, dipandang, diberi perhatian oleh manusia. Gaya-gaya fesyen yang in trend,warna-warna yang striking. Yang pelik-pelik pun ada. Seketul duk atas kepala, dari jauh nampak macam ‘alien’, sampai dekat orang rupanya. Fesyen bertudung kata mereka. Nampak lain dari yang lain, jadi orang tertarik.

Dulu-dulu ramai suka tulis diari. Catat apa yang dilalui. Catat rasa hati. Sekarang dunia canggih, tak guna dah diari ni. Kata seorang yang tinggi jawatannya di satu negara ni,  “rakyat kita adalah rakyat yang celik teknologi,hampir semua ada account fb”. Diri ini terkesima sebentar dengan kayu ukur ada fb sudah dikatakan berteknologi. Mungkin dia ada penilaian tersendiri. Tapi bagi saya, tidak. Kena luaskan skop penilaian tu. Kegunaan laman sosial ni yang sebenarnya saya nak sebut. Bagi yang menggunakan sebagai medan untuk berdakwah, itu tiada masalah. Bagi yang selalu meluah di laman sosial ni yang kurang enak. Meletakkan gambar berbagai gaya untuk tatapan umum pun ada. Melalui  pemerhatian saya, tindakan seperti ini seolah ingin kan  perhatian. Setuju tak?... ini pandangan saya..

Arah tarikan.

“ terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa”

Pepatah melayu untuk beringat bila bercakap. Kalau tersalah arah nak buat macam mana? Tersalah arah boleh tukar arah lepas dah tahu arah yang betul. Sebagai seorang hamba, arah tarikan yang sepatutnya bukan di pandangan manusia. Bukan di hati manusia. Kalau manusia memandang kerana kebaikan untuk dicontohi, itu bagus. Tetapi, kalau arah tarikan kita untuk manusia puji, itu silap. Arah perlu diubah. Perlu untuk kita semak diri selalu. Adakah diri ini selalu tampil cantik ketika menghadap Allah pemilik sekalin Alam? Adakah diri ini selalu menitip doa mendamba perhatian  pada yang Maha Mendengar?

Dalam bulan Ramadhan ini, mari kita sama-sama menarik perhatian yang Maha Pencipta untuk merasai kewujudan kita dengan rasa Takwa kita pada Allah. Mari kita meluah rasa kehambaan pada tiap bait doa kita. Kalau kita selalu berdoa setiap masa, suara rintihan  kita tidak akan asing didengar Allah. Meskipun tika dalam susah atau senang. Ketika ramai memenuhi saff bersolat terawikh, mari menghayati tiap bacaan solat kita. Khusyukkan solat. Moga kita merasai dan Allah melihat penghayatan kita. Moga Allah memilih kita meraih kenikmatan berterawikh. Sujudkan kepala merayu keampunan dari dosa-dosa. Ramadhan bulan keampunan. Jangan kita persiakan begitu sahaja. Jangan jadi orang yang rugi. Dalam manusia berlumba-lumba meraih pahala di bulan Ramadhan, moga kita ini dipilih Allah dalam kalangan gerombolan yang berlumba ini. Moga- moga juga, dengan keazaman dan  harapan melangit supaya tarbiyah madrasah Ramadhan ini akan terus sebati dalam kehidupan kita.



Akhir kalam, Jadilah hambanya yang menarik perhatian-Nya. Jadilah hambanya yang paling menyerlah di mata-Nya. Jadilah yang terbaik di kalangan yang terbaik.Tak perlu bergaya mengikut trend untuk menarik manusia memandang. Tak perlu meluah pada yang tak berkaitan untuk dapat perhatian. Kejarlah Mardhatillah!

~Madrasah Ramadhan~




No comments:

Post a Comment